comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM wujudkan pasukan petugas khas bebas siasat kematian pakar perubatan patologi

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.- Foto fail

PETALING JAYA: Sebuah pasukan petugas khas bebas akan ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula 10 Oktober ini untuk menyiasat kes buli melibatkan pakar perubatan patologi di Lahad Datu hingga menyebabkan kematian.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Pasukan petugas khas itu dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah bersama lima ahli bebas yang mempunyai pengalaman merangkumi bidang perubatan, psikiatri, patologi serta kesihatan mental dan perlakuan buli.

“Ia turut dianggotai lima ahli bebas bukan anggota KKM yang berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, psikiatri, patologi serta kesihatan mental dan perlakuan buli.

“Mereka ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, serta mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Azman Abu Bakar.

“Selain itu, pesara perkhidmatan awam dalam profesion Pegawai Kehakiman dan Penasihat Undang-Undang di pelbagai kementerian, Datuk Mohamad Fazin Mahmud, Profesor Ulung pertama di Malaysia dalam bidang Patologi, Prof Ulung Datuk Dr Looi Lai Meng.” katanya dalam satu kenyataan.

Turut dilantik, Pakar Perunding Kanan (Psikiatri) di Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Chan Lai Fong yang memiliki kepakaran dalam bidang pencegahan bunuh diri.

Dr Dzulkefly berkata, pasukan petugas khas itu berperanan melaksanakan siasatan dan menganalisis input daripada siasatan insiden kematian pakar patologi kimia di Lahad Datu secara khusus, serta meneliti budaya kerja di Hospital Lahad Datu.

Ia juga bertujuan mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital berkenaan secara umum dan di Jabatan Patologi hospital terbabit secara khusus.

“Pasukan itu turut berperanan menyediakan laporan hasil siasatan serta cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan,” tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan seorang doktor dikenali sebagai Dr Tay Tien Yaa ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, 29 Ogos lalu, didakwa disebabkan tindakan bunuh diri berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.

Ahli keluarga mangsa menerusi perkongsian di Facebook, mendakwa mangsa ditindas pegawai atasan, selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas akibat beban kerja melampau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini