![](https://media.buletintv3.my/2023/05/TEMPLATE-CMS-PP-65.jpg)
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan lima inisiatif akan dilaksanakan sebagai usaha menambah baik perkhidmatan kesihatan di Terengganu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata sejumlah RM72.5 juta sudah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi projek pembangunan baharu fasiliti kesihatan di negeri berkenaan pada tahun ini.
Katanya, selain itu Klinik Kesihatan Hiliran, Kuala Terengganu bakal menerima peruntukan RM17 juta untuk menyiapkan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar sebagai tambahan daripada peruntukan asal sebanyak RM15 juta.
“Dalam pada itu, sebanyak tiga klinik yang terkesan akibat banjir akan menerima peruntukan khas sebanyak RM500,000 iaitu Klinik Desa Gong Tanah Merah, Klinik Desa Alor Lintah, Klinik Desa Alor Keladi.
“Hospital Dungun yang diklasifikasi sebagai projek sakit akan disiapkan tahun ini dan bakal memberi manfaat besar kepada warga setempat apabila beroperasi kelak.
“Akhir sekali, untuk tujuan baik pulih dan naik taraf, sebanyak 53 klinik daif menerima peruntukan bernilai RM 8.9 juta demi keselesaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, semua inisiatif yang dinyatakan bakal meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negeri.
“Ini juga sebahagian daripada reformasi kesihatan yang menjadi tekad saya selaras dengan pembangunan Kertas Putih Kesihatan,” katanya.