Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti perkara berkaitan tenaga kerja termasuk isu syif ‘on-call’ 30 jam.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementerian kini dalam rangka kerja menangani perkara berkenaan meskipun ia tidak berlaku di semua tempat.
“Kementerian kini sedang meneliti permintaan bekalan penggunaan tenaga kerja dan dalam rangka kerja itu, kami akan dapat menangani isu tertentu seperti itu (syif ‘on-call’).
“Ia tidak berlaku di semua tempat, sebab itu kementerian perlu memahami jurangnya dan memahami di mana kekurangannya,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Bencana Bersempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional Peringkat KKM Tahun 2024 di sini, hari ini.
Jelasnya, perkara ini sangat mustahak dan kementeriannya perlu memberikan preskripsi yang betul.
Terdahulu media melaporkan permintaan doktor untuk mengurangkan syif ‘on-call’ kepada jam yang lebih berperikemanusiaan.
Beliau juga berharap isu terbabit dapat dipertimbangkan dalam pembentangan bajet yang akan dibuat Jumaat depan sebagai cerminan keprihatinan kerajaan terhadap sektor penjagaan kesihatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.