Tumpuan :
Nasional

KKM teliti isu pelaku guna alasan sakit mental buat jenayah

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meminta kajian yang mendalam dilakukan mengenai isu pelaku jenayah menggunakan alasan kesihatan mental untuk melepaskan diri dari tindakan undang-undang.

Tegasnya, perkara itu harus dipandang serius dan penelitian perlu dilakukan dari setiap sisi.

“Semua itu memerlukan satu penilaian yang lebih cermat dan kita akan buat perbincangan dalam mesyuarat pasca kabinet dan akan merujuk kepada penasihat undang-undang kami.

“Ia masih terlalu awal untuk sebarang tindakan lanjut tapi kes ini adalah serius dan kami akan melihat semua sisi, termasuklah keperluan untuk meminda undang-undang atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang berkenan untuk berangkat merasmikan Persidangan Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Mengulas lanjut, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, isu itu juga perlu dilihat dari kes ke kes.

“Jadi tidak ada justifikasi mengatakan bahawa kesihatan mental digunakan untuk membuktikan kes. Itu tidak sepatutnya.

“Kesihatan mental perlu dipandang serius dan mempunyai garis panduan dan perundangan bagaimana kita nak menangani kes begitu.

“Kesalahan tetap kesalahan kalau kita nak gabungkan dengan kesihatan mental kita mempunyai ruang lingkup perundangan yang perlu kita nak menangani kes tersebut.

“Untuk mengatakan bahawa menggunakan kesihatan mental dan melakukan kesalahan itu tidak bolehlah. Itu tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini