Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad SudinPUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik COVID-19 di sempadan negara sekiranya ada keperluan, dalam usaha membendung penularan jangkitan di negara ini berikutan kenaikan kes COVID-19 di China.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM juga sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19.
“Dengan pelanjutan Malaysia sebagai ‘Kawasan Tempatan Jangkitan’ sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan.
![](https://media.buletintv3.my/2023/01/pp-cms-28.jpg)
“Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik COVID-19 di sempadan negara serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.
“Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China bahkan yang tiba dari semua negara di dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, China mengumumkan kelonggaran pengurusan COVID-19 mulai 8 Januari ini, termasuk pembukaan sempadan republik itu, selain tidak mengenakan kuarantin ke atas pengembara yang memasuki negara itu.
Keputusan berkenaan dibuat ketika China berdepan peningkatan jangkitan dan jumlah kematian yang membimbangkan.
Dr Zaliha berkata, beliau memberi perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes COVID-19 di China serta sekatan yang telah dibuat oleh beberapa negara lain terhadap pengembara dari negara tembok besar itu.
Menurutnya, perkara berkenaan sememangnya keutamaan KKM ketika ini.
Katanya, KKM sentiasa berhubung rapat dan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), China serta rakan-rakan negara ASEAN, selain mengambil polisi berpandukan dan berasaskan sains serta data yang tepat.
“Berdasarkan laporan, pihak WHO telah mengadakan mesyuarat dengan pihak China bagi urusan perkongsian data terkini dan ia akan diteruskan bagi mengetahui secara terperinci maklumat, situasi dan pengurusan COVID-19 di negara tersebut.
“Berdasarkan maklumat yang dilaporkan China kepada pihak WHO, varian dan subvarian yang ada di China juga telah dikesan di Malaysia.
“Merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin COVID-19 berkesan bagi memberi perlindungan daripada mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus COVID-19 dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital,” katanya.
Pada masa sama, Dr Zaliha menggesa orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.
Ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian.
“KKM amat berharap peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat, terutamanya daripada golongan yang berisiko memandangkan ketika ini hanya 49.8 peratus sahaja rakyat Malaysia yang telah mendapat vaksin dos penggalak pertama dan hanya 1.9 peratus sahaja yang telah mengambil vaksin dos penggalak kedua.
“Tidak lama lagi vaksin bivalen juga akan dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan
Pihak Berkuasa Kawalan Dadah baru-baru ini.
“Pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat untuk terus menjaga kesihatan kendiri dan keluarga masing-masing serta sentiasa mematuhi saranan dan nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan.
Antaranya, elakkan 3S (kawasan sesak dan sempit serta berbual pada jarak dekat); amalkan 3W (kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; memakai pelitup muka serta mematuhi amaran KKM) serta amalkan TRIIS (ujian, lapor, asing, maklum, cari).