comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM sasar kadar perokok tembakau turun 15 peratus tahun depan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) optimis untuk mencapai sasaran bagi mengurangkan prevalen perokok tembakau membabitkan orang dewasa kepada 15 peratus menjelang Disember tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang lebih menyeluruh selain tindakan penguatkuasaan yang lebih agresif.

“Walaupun prevalen penggunaan tembakau berkurang daripada 21.3 peratus (tahun 2019) kepada 19 peratus yang direkodkan menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, terdapat peralihan daripada merokok konvensional kepada penggunaan vape.

“Sekarang kita tinggal empat peratus untuk mencapai sasaran terbabit dan saya berharap kita dapat mencapainya menjelang Disember 2025 untuk (mendapat angka) 15 peratus atau kurang daripadanya,” katanya pada sesi taklimat media berkaitan Akta 852, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM akan menentukan sasaran prevalen membabitkan rokok elektronik termasuk vape pada masa hadapan untuk menangani isu tersebut dengan lebih berkesan.

“Buat masa ini prevalen membabitkan vape adalah pada 5.8 peratus, jadi kita hanya dapat menentukan sasarannya apabila kita perhatikan pelaksanaan (Akta 852) supaya kita dapat capai sasaran lebih realistik,” katanya.

Pada Mei lalu, Dzulkefly dilapor berkata, terdapat peningkatan ketara iaitu sebanyak 600 peratus terhadap penggunaan rokok elektronik di negara ini dengan 5.8 peratus pengguna dikenal pasti pada 2023 berbanding 0.8 peratus pada 2011.

Data itu didedahkan dalam Tinjauan Tembakau Dewasa Global (GATS) Malaysia 2023 iaitu tinjauan isi rumah peringkat kebangsaan yang juga dilakukan di lebih 30 negara berpendapatan rendah dan sederhana yang dibebani penggunaan tinggi tembakau.

Akta 852 mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu bertujuan mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik atau vape.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini