
Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mensasarkan pelantikan 3,000 pegawai perubatan siswazah (PPS) yang akan ditempatkan di 49 Hospital Latihan Siswazah (HLS) di seluruh negara bagi tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bagi suku pertama tahun ini, KKM telah melantik secara kontrak seramai 1,114 Pegawai Perubatan Gred UD9 untuk menjalani latihan siswazah di 49 HLS seluruh negara.
“Pelantikan Pegawai Perubatan Siswazah (Housemanship) dilaksanakan sebanyak enam kali setahun dengan sela masa dua bulan berbanding dengan tempoh menunggu lebih satu tahun sebelum ini,” ujarnya di Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan statistik KKM, semua graduan yang telah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) pada tahun 2024 iaitu seramai 3,316 telah dilantik sebagai pegawai perubatan siswazah (PPS) dan ditempatkan di HLS di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, seramai 423 PPS telah ditempatkan di HTAR Klang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.