Tumpuan :
Nasional

KKM sahkan Mi Kari Putih Penang Ah Lai, Indomie Perisa Ayam Special selamat dimakan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk mi segera, Mi Kari Putih Penang Ah Lai dan Mi Segera Perisa Ayam Special jenama Indomie mematuhi perundangan ditetapkan dan selamat untuk dimakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pengesahan status itu berdasarkan analisis makmal yang telah dijalankan ke atas sampel kedua-dua produk berkenaan.

“Bagi mana-mana produk yang didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, KKM bekerjasama dengan syarikat yang terbabit untuk memastikan semua produk yang terlibat ditarik balik daripada pasaran.

“KKM ingin menegaskan bahawa produk yang berada di pasaran tempatan telah melalui prosedur yang ditetapkan dan adalah selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Dr Muhammad Radzi dilaporkan mengeluarkan arahan penarikan balik produk secara sukarela terhadap dua jenama mi segera tempatan dan keluaran Indonesia susulan laporan pihak berkuasa Taiwan yang mendakwa ia mengandungi ‘etilena oksida’ atau sebatian kimia yang boleh menyebabkan kanser.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KKM melaksanakan enam tahap pemeriksaan di pintu masuk berdasarkan risiko bagi makanan yang diimport dengan pemeriksaan Tahap 5 iaitu Tahan, Uji dan Lepas (TUL), produk makanan yang masuk ke negara ini akan ditahan dan dianalisis terlebih dahulu.

Menurutnya, hanya produk makanan yang mematuhi standard sahaja dilepaskan untuk pasaran Malaysia.

“Bagi tempoh 2022 hingga April lalu, sejumlah 317 pensampelan bagi tujuan TUL telah dijalankan dan daripada jumlah tersebut, 37 (11.67%) merupakan pensampelan TUL ke atas produk mi segera pelbagai jenama bagi parameter etilena oksida,” katanya.

Beliau berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Loading...
Terkini