comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM perhalusi cadangan mansuh lesen kedai makan 24 jam

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperhalusi cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menggesa kedai makan dilarang beroperasi 24 jam bagi membantu mengurangkan masalah kesihatan dan obesiti di negara ini.

Menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya perlu mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh bagi memastikan isu dapat dikaji secara menyeluruh, dengan syor penyelesaian yang mempunyai hala tuju jelas.

“Kertas cadangan akan disediakan untuk penelitian dan tindakan seterusnya oleh KKM dan kerajaan,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut tentang dakwaan operasi kedai makan 24 jam antara punca utama obesiti di negara, Dzulkefly berkata, ia harus dibuktikan secara empirikal melalui kajian yang objektif dan menyeluruh.

Katanya, dikhuatiri kumpulan-kumpulan tertentu seperti petugas barisan hadapan dan sebagainya yang bergantung kepada operasi kedai terbabit berdepan kesukaran jika perkhidmatan tersebut dihentikan secara pukal.

Tambahnya, cadangan penutupan itu tidak dapat menjamin pengguna akan mencari alternatif lain memandangkan ada dalam kalangan mereka mempunyai tahap literasi kesihatan yang rendah.

Dzulkefly mengulas cadangan Presiden CAP Mohideen Abdul Kader yang menggesa lesen operasi 24 jam diberikan kepada kedai makan dimansuhkan kerana kajian menunjukkan terdapat kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Mohideen berkata pihaknya sekian lama menyeru larangan kedai makan beroperasi 24 jam dengan alasan akses terhad kepada makan lewat malam akan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat.

Katanya, penyelidikan menunjukkan individu yang makan lewat malam melebihi 40% daripada keperluan tenaga harian mereka, menimbulkan faktor risiko ketara bagi obesiti.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dengan menyifatkan gesaan itu hanya sesuai dijalankan mengikut keperluan, lokasi serta gaya hidup masyarakat bagi memenuhi keperluan semua pihak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini