Tumpuan :
Nasional

KKM pantau limau mandarin sempena musim perayaan

Foto hiasan. – Dijana oleh AI

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan pemantauan khas terhadap limau mandarin yang diimport sempena musim perayaan, bermula November lalu.

Pemantauan ini dilakukan di semua 70 pintu masuk negara bagi memastikan limau yang dibawa masuk memenuhi standard yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.

Menurut kenyataan KKM, negara pengeksport utama limau mandarin ke Malaysia pada tahun lalu ialah China, Afrika Selatan, Jepun, Australia, dan Mesir, berdasarkan data dari Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM).

“Hasil pemantauan tersebut, sebanyak 243 sampel limau mandarin telah dianalisis dan didapati sembilan sampel atau 3.7 peratus tidak mematuhi kadar maksimum residu racun perosak di bawah PPM 1985. Semua sampel yang melanggar (peraturan) telah dilupuskan,” menurut kenyataan itu.

Bagi pengimport yang melanggar peraturan, KKM akan melaksanakan pemeriksaan tahap 5 (Tahan, Uji dan Lepas) pada penghantaran berikutnya.

Dalam pemeriksaan ini, konsainan makanan akan ditahan untuk pensampelan dan pelepasan hanya akan diberikan jika hasil analisis mematuhi standard yang ditetapkan.

KKM turut mengingatkan semua pengimport untuk memastikan makanan yang diimport mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Kementerian ini juga akan terus menjalankan pemantauan di pintu masuk negara serta pasaran tempatan bagi menjamin keselamatan makanan, melindungi pengguna, dan memastikan produk di pasaran selamat untuk dimakan.

Sebagai langkah tambahan, KKM telah melancarkan operasi khas yang dinamakan Ops Tahun Baru Cina, bermula 19 Januari hingga 1 Februari depan bagi memastikan keselamatan makanan sempena musim perayaan ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini