comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KKM nasihat tutup operasi ‘vending machine’ rokok elektronik serta merta


Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sarankan pihak pengurusan salah satu pusat membeli belah di ibu negara menutup operasi mesin layan diri yang menjual rokok elektronik dengan terbuka serta merta.

KKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya telah bertemu dengan pengurusan pusat membeli belah berkenaan dan mereka akur dengan arahan KKM itu.

 

“KKM memandang serius isu berkaitan aduan penjualan rokok elektronik atau vape menerusi mesin layan diri (vending machine) sebagaimana tular di Aplikasi X pada 10 Julai 2024.

“Khusus bagi aduan ini, pihak KKM telah turun dan bertemu dengan pihak pengurusan pusat membeli belah yang terlibat bagi menerangkan tentang larangan penjualan menerusi mesin layan diri tersebut,” katanya.

 

Dalam kenyataan sama KKM berkata, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Seksyen 10 memperuntukkan larangan penjualan dan pameran semua produk merokok.

Peraturan berkaitan penjualan juga melarang penjualan termasuk menerusi kaedah mesin layan diri adalah dan kini sedang diperhalusi serta akan dikuatkuasakan bersama Akta 852 setelah diluluskan.

KKM menjelaskan larangan penjualan rokok elektronik melalui mesin layan diri ini juga kesinambungan daripada larangan penjualan hasil tembakau seperti rokok, cerut dan tembakau lerai melalui mesin layan diri di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281).

“Sebagai persediaan ke arah penguatkuasaan Akta bersama peraturan dan perintah di bawahnya, KKM telah mengadakan Siri Taklimat Penguatkuasaan Akta 852 kepada semua pegawai penguatkuasa KKM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara bermula 9 Jun 2024.

“Ini adalah bagi memaklumkan tentang larangan-larangan yang terdapat di bawah Akta 852 dan peraturan di bawahnya termasuk larangan penjualan produk merokok melalui mesin layan diri,” katanya menerusi kenyataan sama.

KKM sentiasa mengadakan hebahan, taklimat dan sesi penerangan dari masa ke masa untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya tabiat merokok termasuk penggunaan rokok elektronik.

Golongan perokok dan pengguna rokok elektronik dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan berhenti merokok mengikut kaedah yang diiktiraf oleh KKM di mana-mana klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan berhenti merokok atau melalui laman sesawang www.jomquit.com.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini