PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa hantaran tular di Telegram pada Jumaat lalu adalah tidak berasas dan dipercayai bertujuan mencemarkan nama serta kredibiliti seorang pegawai tinggi kementerian itu.
Menurut Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, siasatan mendapati individu berkenaan memang hadir di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya pada 4 Januari.
Namun, dakwaan seperti yang tular di aplikasi Telegram bahawa individu tersebut memotong giliran dan membuat kacau adalah tidak benar serta berniat buruk.
“Siasatan terperinci telah dijalankan dan mendapati bahawa individu berkenaan telah hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya pada tarikh tersebut.
“Namun begitu, apa yang digambarkan dalam hantaran tersebut adalah tidak berasas. Naratif yang disampaikan disyaki berniat untuk memburukkan nama baik dan menjatuhkan kredibiliti pegawai berkenaan,” menurut kenyataan itu.
KKM menggalakkan orang ramai melaporkan sebarang aduan atau maklum balas mengenai perkhidmatannya melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) di https://moh.spab.gov.my, yang diurus secara bebas mengikut prosedur ditetapkan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.