KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan Operasi Ramadan 2024 serentak di seluruh negara, membabitkan pemeriksaan terhadap semua premis makanan termasuk bazar Ramadan, dalam usaha memastikan keselamatan makanan dijual sentiasa terjamin.
KKM dalam kenyataannya, berkata operasi itu membabitkan pemeriksaan terhadap premis serta pengambilan sampel makanan, bagi memastikan makanan yang disediakan atau dijual itu selamat, mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Aktiviti pemeriksaan yang dijalankan di sepanjang rantaian makanan meliputi peringkat sumber bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga yang telah dilesenkan oleh PBT, telah bermula sebelum Ramadan lagi.
“Ini diteruskan lagi dengan aktiviti pemeriksaan di premis tumpuan seperti hotel yang menyediakan bufet Ramadan, premis pembekal bahan mentah dan juga premis penyediaan ais.
“Pemeriksaan ini juga akan dijalankan dengan kerjasama pihak PBT masing masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.KKM memaklumkan, kerjasama dengan PBT juga diperkukuhkan menerusi taklimat keselamatan makanan kepada pengendali bazar Ramadan, memastikan pengendali mendapat suntikan pelalian anti tifoid dan menjalani latihan pengendali makanan.
Selain itu katanya, kempen kesedaran berkaitan keselamatan makanan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan turut giat dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media massa, media elektronik dan media sosial.
“Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal,” katanya.
Dalam masa sama, KKM menasihatkan orang ramai untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih juadah berbuka dengan mengamalkan ‘Perhati dan Pilih’ serta ‘Lihat Hidu Rasa’ sebelum membelinya.
“Tindakan itu adalah langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan. Selain itu peniaga dinasihatkan membersihkan terlebih dahulu bahan mentah sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan yang berisiko tinggi terlalu awal daripada waktu untuk dijual.
“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.