comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM kumpul cadangan pinda perundangan jenayah dilakukan individu alami masalah mental

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) masih melaksanakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mengumpul input mengenai keperluan meminda perundangan membabitkan jenayah dilakukan individu mengalami masalah mental.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia termasuk mengadakan lawatan ke fasiliti kesihatan berkaitan serta perbincangan dengan pakar psikiatri.

“Secara jujurnya, kami sedang giat membincangkan perkara ini. Saya sudah mengadakan perbincangan dengan pakar psikiatri dan baru-baru ini mengadakan lawatan ke Hospital Sentosa di Kuching.

“Hari ini, saya berpeluang bertemu seorang pakar psikiatri forensik, satu bidang yang agak kurang dalam KKM,” katanya pada sidang media pada Majlis Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan Transplan Sel Stem/Sumsum Tulang (SCT/ BMT) di Hospital Ampang, di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, banyak lagi aspek dan sudut boleh ditambah baik dalam isu jenayah dilakukan pesakit mental.

“Selepas kami menetapkan dasar atau pendirian mengenai perkara ini, saya akan memaklumkan segera kepada orang ramai,” katanya mengakui betapa meruncingnya isu terbabit dan memberi jaminan ia akan diberi perhatian sewajarnya.

“Topik ini sangat penting dan saya bersetuju. Kami akan memberikan perhatian serius terhadapnya,” katanya.

Oktober lalu, Dzulkefly dilaporkan berkata, KKM akan meneliti semua faktor termasuk kemungkinan pindaan undang-undang susulan kebimbangan masalah kesihatan mental digunakan sebagai pembelaan dalam kes jenayah.

Beliau mengulas kebimbangan masyarakat mengenai jenayah dilakukan individu yang didakwa mengalami masalah kesihatan mental mungkin mengakibatkan keadilan sepatutnya tidak dapat ditegakkan ke atas mangsa dan keluarga.

Ini kerana pesalah mungkin dianggap tidak layak untuk didakwa di mahkamah kerana mengalami masalah kesihatan mental.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini