
KUALA LUMPUR: Sebanyak 19,340 kompaun bernilai kira-kira RM4.8 juta dikeluarkan kepada pemilik premis dan individu mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sejak 1 Oktober tahun lalu hingga 31 Januari lalu di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 47.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga pihaknya menjalankan 7,228 operasi membabitkan sebanyak 142,158 premis diperiksa.
“Selain itu, sebanyak 162,229 penguatkuasaan pendidikan dilakukan sepanjang tempoh sama,” katanya pada sidang media selepas operasi penguatkuasaan bersepadu bagi Akta 852 dan Akta Makanan 1983 (Akta 281) di Sungai Besi, di sini, malam tadi.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 1,430 notis kesalahan mengikut Seksyen 16 iaitu larangan merokok di kawasan larangan dalam 160 operasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 1 Oktober tahun lalu sehingga 3 Februari lalu.
Katanya, selain itu, tiga notis juga dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Seksyen 18.
“Dalam operasi kali ini yang dijalankan sejak 5 Februari lalu hingga hari ini (semalam) sebanyak 299 premis di pasar malam dan kawasan sekitarnya diperiksa dan susulan itu sebanyak 105 notis kesalahan dikeluarkan mengikut Akta 852 dan Akta 281.
“Kesalahan mengikut Akta 852 membabitkan masing-masing satu notis kesalahan mengikut Seksyen 10 dan Seksyen 12, 62 notis bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 dan tiga notis di bawah Seksyen 18.
“Manakala kesalahan mengikut Akta 281, sebanyak 38 notis dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly juga menyampaikan pengiktirafan ‘Bersih dan Selamat’ (BeSS) kepada empat premis makanan yang memenuhi keperluan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 pada operasi berkenaan.
Katanya, sehingga Disember tahun lalu sebanyak 13,307 premis makanan sudah mendapat pengiktirafan BeSS di seluruh negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.