comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM, JPA kaji semula keputusan henti tajaan bidang perubatan

PORT DICKSON : Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung keputusan menghentikan penajaan jabatan berkenaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Artikel berkaitan : JPA henti taja bidang perubatan,pergigian,farmasi 

Jelas beliau, KKM sedia mengkaji semula kajian dilakukan pada 2019 yang mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai 2026 hingga 2030.

“Kita tahu ada perubahan, terutamanya selepas pasca COVID-19 ini, jadi mungkin ada perkara baharu yang perlu dilihat semula pada kajian tersebut, mungkin pada polisi baharu.

“Kita bimbang juga (pelajar tidak berminat nak sambung pelajaran) perkara itu boleh berlaku. Kita akan lihat kajian yang telah dilakukan itu, supaya keputusan terbaik dapat dibuat,” katanya  selepas merasmikan Majlis Kajian Global Adults Tobacco Survey (GATS) di sini, hari ini.

Beliau mengakui KKM bimbang keputusan berkenaan bakal memberi kesan kepada pelajar untuk menyambung pengajian di peringkat universiti.

Ujar beliau,  profesion seperti doktor dan jawatan lain dalam skim perubatan amat diperlukan di negara ini kerana perkhidmatan kesihatan adalah penting.

Media melaporkan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi susulan kajian KKM mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai 2026 hingga 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 menyatakan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 .

Dijangkakan nisbah 1:400  dapat dicapai pada 2025.

Loading...
Terkini