Oleh: Aslina Abu Bakar
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta semua pempengaruh Media sosial berhenti memuat naik ‘content’ pemakanan tidak sihat kepada umum.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata kecenderungan remaja dan kanak-kanak terhadap makanan ‘trendy’ menjadi antara penyumbang kematian akibat penyakit berbahaya termasuk kanser.
Katanya, hal itu membimbangkan apabila ‘trend’ peningkatan pesakit kanser banyak tertumpu kepada golongan yang lebih muda bermula usia 15 hingga 49 tahun.
“ Saya menasihatkan kepada influencer-influencer sosial media, jangan terlalu berlebihan dalam mempamerkan cubaan memakan ataupun mencuba makanan yang mempunyai kandungan gula sangat tinggi.
“Contohnya, baru baru ini saya telah melihat satu tiktok di mana ada cubaan untuk meminum susu creamer dan jugak air balang yang dalam saiz yang terlampau berlebihan. Ini adalah salah satu penyumbang kepada penyakit penyakit yang serius,”katanya.
Menurutnya ibu bapa turut memainkan peranan penting menghentikan gaya hidup tidak sihat dalam kalangan anak-anak mereka.
“Sememangnya pasangan suami isteri mempunyai kerjaya masing masing.. kesuntukan masa membuatkan mereka memilih membeli makanan segera.
“ Kita juga perlu menerapkan amalkan gaya hidup di peringkat awal kepada anak-anak seperti bersenam dan juga pengambilan makanan yang tidak berlebihan,”katanya selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke 10 Institusi Kanser Negara, di sini, hari ini.
Untuk rekod sebanyak 60 peratus penghidap kanser golongan kanak-kanak menghidap Kanser darah dan saraf berpunca daripada pemakanan tidak sihat.
“Selain itu, sememangnya kita melihat amalan merokok turut menjadi penyumbang peningkatan kematian di mana kita lihat apabila kanser dikesan dontohnya kanser paru paru, ia sudah berada pada tahap yang agak tinggi, yang mana kebiasaannya agak sukar dirawat.
“Sudah pasti untuk mengekang masalah ini memang KKM berhasrat membentangkan sekali lagi Rang Undang-Undang Kawalan Rokok dan Tembakau di persidangan parlimen yang akan datang seawal Oktober ini.
“ Buat masa ini Rang Undang-Undang tersebut telah dibawa ke parlimen oleh komuniti kesihatan dan kami sudah diperingkat akhir perbincangan sebelum jawatankuasa mengeluarkan laporan.
Sementara itu, melalui Jabatan Perangkaan Malaysia sejak 2007 hingga 2021 terdapat sebanyak 167, 570 kes telah dilaporkan dan daripada angka tersebut, kematian akibat kanser telah meningkat daripada 27.7 kematian bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2007, kepada 49.0 kematian bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2021.
“ Peningkatan pesakit kanser dalam kalangan penduduk Malaysia ini tertumpu kepada individu yang berusia lebih muda. Kanser juga menjadi penyumbang kedua kematian pra-matang dengan 14.2 peratus pada tahun 2017,”katanya.