BALING: Dua buah premis yang membuka makmal pergigian tidak sah, di sini, diserbu pihak Kementerian Kesihatan (KKM), baru-baru ini.
Operasi yang turut disertai krew 999 mendapati premis yang menawarkan perkhidmatan pembuatan dan pemasangan gigi palsu itu tidak berdaftar di bawah Majlis Pergigian Malaysia.
Dalam serbuan di premis pertama, seorang warga emas mengakui tidak memiliki sijil kelayakan bagi membuka klinik dan hanya belajar sendiri proses pembuatan dan pemasangan gigi palsu.
Lelaki yang dipercayai bekerja sebagai tukang gigi sejak tahun 90-an mendakwa mampu menyiapkan gigi palsu dalam tempoh satu jam walaupun tidak menggunakan khidmat juruteknologi pergigian bertauliah.
Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang premis mendapati terdapat beberapa peralatan dan bahan membuat gigi palsu dalam keadaan yang tidak mengikut piawaian oleh KKM.
Premis itu turut dikendalikan oleh dua anak lelakinya yang mendakwa memperoleh bahan dan peralatan secara dalam talian.
Pihak KKM turut menjalankan serbuan ke atas sebuah lagi premis berdekatan selepas dikesan menawarkan pemasangan gigi palsu mengikut gred pemutihan gigi yang ditempah oleh pelanggan.
Selain bahan dan peralatan dirampas, kedua-dua pemilik premis boleh berdepan denda maksimum RM300,000 serta penjara tidak melebihi enam tahun kerana disyaki melanggar peruntukan subseksyen 4 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].
Dalam tempoh 2023 sehingga Jun 2024, sebanyak 46 kes melibatkan individu yang menjalankan rawatan pergigian secara haram telah didakwa di bawah Akta Pergigian 2018.
Tonton laporan khas ‘Makmal Gigi Palsu Tidak Sah’ dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu dalam program 999 malam ini di TV3.
Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.