Tumpuan :
Nasional

KKM fokus dua isu dalam Kertas Putih Kesihatan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran kolaborasi strategik di antara KPJ Healthcare dan Mayo Clinic Care Network di Damansara Specialist Hospital 2 hari ini. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi fokus kepada dua perkara iaitu transformasi digital dan pembaharuan pembiayaan dalam Kertas Putih Kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu menjadi satu keperluan pada masa ini seiring dengan reformasi sistem kesihatan negara.

Katanya, berikutan itu satu pasukan teknikal mengikut bidang tertentu akan diwujudkan bagi membantu pihaknya dalam menyediakan dokumen itu.

“Kita kini sedang bertindak dalam melaksanakan tranformasi dalam sektor kesihatan serta sedang mengenalpasti beberapa perkara lagi.”

“Namun tumpuan KKM kini adalah kepada dua perkara iaitu melakukan transformasi digital kesihatan menerusi sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) serta reformasi terhadap sistem pembiayaan kesihatan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pemeteraian Kerjasama Strategik antara KPJ Healthcare Bhd bersama pusat akademik kesihatan terkemuka Amerika Syarikat, Mayo Clinic, hari ini.

Hadir sama ialah Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation Bhd (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim; Pengarah Perubatan Eksekutif Mayo Clinic Bahagian Amalan Antarabangsa dan Asia Pasifik, Dr Stacey Rizza dan Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md Arif Mahmood.

Tahun lalu, kerajaan membentangkan Kertas Putih Kesihatan dan ia menjadi dokumen bagi dasar reformasi kesihatan negara dengan menggariskan cabaran utama yang dihadapi oleh sistem kesihatan.

Dokumen itu antara lainnya mengemukakan cadangan penyelesaian secara berfasa dalam tempoh 15 tahun yang merangkumi aspek penyampaian, promosi kesihatan dan pencegahan penyakit, pembiayaan kesihatan serta tadbir urus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Dr Dzulkefly dalam ucapannya berkata sektor awam dan swasta belum disepadukan secara sempurna antara satu sama lain.

Katanya, sumber serta beban kerja dan data tidak mudah dikongsi antara kedua-duanya sehingga membawa kepada kelewatan.

“Sektor awam menampung dua pertiga daripada kes pesakit luar dan pesakit dalam tetapi 75 peratus pakar dalam Malaysia adalah dalam sektor swasta. Sumber, beban kerja dan data tidak mudah dikongsi antara kedua-duanya sehingga membawa kepada kelewatan dalam diagnosis dan rawatan, penyiasatan berulang yang tidak perlu dan kos tambahan.”

“Justeru inovasi, pendigitalan dan kemajuan teknologi yang menggunakan kekuatan kedua-dua sektor awam dan swasta mempunyai potensi untuk meningkatkan keberkesanan dalam penjagaan kesihatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini