comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KKM bimbang penjualan ‘Tiger Pod’ berleluasa

 

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius serta kesal isu penjualan produk rokok elektronik atau vape di hadapan sebuah sekolah yang tular baru-baru ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata KKM juga mendapat maklumat, aktiviti mempromosi, pengiklanan dan penjualan rokok elektronik atau vape menyerupai permainan kanak-kanak atau ‘Tiger Pod’ yang kini semakin berleluasa.

“Perkara ini sangat membimbangkan ibu-bapa dan guru kerana produk terbabit direka sehingga menarik perhatian kanak-kanak dan remaja untuk menggunakannya.

Dr Zaliha Mustafa

“Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila rokok elektronik atau vape ini menggunakan cecair bernikotin, yang penjualannya adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan sebagai ubat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.

“Menyedari bahawa Akta Racun 1952 tidak mempunyai peruntukan terhadap larangan aktiviti promosi dan pengiklanan cecair rokok elektronik atau vape, maka peruntukan itu sudah dimasukkan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok, bertujuan mengawal selia penghasilan produk itu.

“Ia sudah pun dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sidang Parlimen pada Ogos tahun lalu dan pelaksanaan terhadapnya masih tertangguh hingga kini,” katanya.

Beliau berkata, penyelesaian penjualan produk yang boleh membahayakan kesihatan generasi muda seperti ‘Tiger Pod’ memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan lain.

“Saya juga ingin menegaskan supaya pengusaha-pengusaha vape haruslah mengambil sikap bertanggungjawab yang tinggi dalam menghasilkan produk mereka.

“Ibu-bapa juga diminta terus memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam amalan yang boleh merosakkan kesihatan mereka,” katanya.

Tambahnya, KKM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, universiti awam dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan dalam aktiviti advokasi dan pencegahan.

“Ini bagi memastikan pendidikan berterusan berkaitan bahaya merokok dapat disebarkan secara meluas kepada semua lapisan masyarakat,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini