Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan
CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan perihal penyakit Palsi Serebrum di peringkat kementeriannya.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu, ia bagi membantu pesakit-pesakit berkenaan, selain ingin melunturkan stigma-stigma berkaitan penyakit itu.
“Sebenarnya saya sudah pun menghubungi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), untuk mengetahui apakah yang kita sediakan dari sudut penjagaan di peringkat klinik-klinik kita. Jadi kita akan bincang untuk memperbaikinya kerana kita tahu ini merupakan perkara yang mustahak.
“Semua tahu sakit ini satu kes yang dari sudut insurans dan claim satu isu yang besar. Its a very difficult subject, jadi kita nak buat benchmarking dengan negara-negara besar yang lain yang menangani segala dakwa dakwi mengenai penyakit ini, walaupun semua tahu itu bukan satu perkara yang mudah.
“Tapi keseluruhannya saya yakin, kita akan dapat memberikan hak kepada anak-anak ini supaya mereka juga tidak dikesampingkan, they are not marginalized dalam masyarakat, dalam pembangunan ekonomi yang rancak ini, hak mereka juga akan terjaga” katanya kepada Buletin TV3 selepas melancarkan Sambutan Hari Palsi Serebrum di Cyberjaya siang tadi.
Tambah Datuk Seri Dr Dzulkefly, pihaknya juga akan memastikan agar kanak-kanak pesakit Palsi Serebrum akan mendapat pendidikan yang selayaknya.
“Dalam kalangan mereka ini ada juga yang saya perhatikan kognitif mereka sangat baik, boleh bersekolah.
“Saya dengar dari segi pendidikan memang ada sedikit permasalahan, jadi saya akan sampaikan kepada ahli kabinet saya, Menteri Pendidikan agar dari segi pendidikan mereka diberikan segala fasiliti dan kemudahan untuk mereka mendapatkannya.
Katanya juga setiap pihak perlu mengambil tanggungjawab bagi menzahirkan dan memaknakan sokongan kepada golongan itu.
“Ini sebenarnya merupakan tanggungjawab whole of nation untuk sama-sama menzahirkan dan memaknakan sokongan kepada golongan itu.”
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.