comscore
Tumpuan :
Nasional

KKDW teliti syor PAC, ambil langkah proaktif baiki isu hutang FELCRA – Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Oleh: Kumaran Rajamoney

KUALA KANGSAR: Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengambil langkah proaktif bagi membetulkan masalah isu hutang tinggi yang ditanggung FELCRA Berhad dan anak-anak syarikatnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri KKDW menjelaskan satu jawatankuasa sudah dibentuk bagi memperhalusi permasalahan yang dibangkitkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta lima syor yang dikemukakannya.

“Antaranya isu pinjaman bagi membina sebuah bangunan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Setakat ini bangunan ini belum dijual tetapi sebagai Menteri yang bertanggungjawab ketika ini, saya mengambil tanggungjawab untuk membetulkan pelaburan itu.”

“Terdapat sekurang-kuranya tiga agensi  ataupun syarikat yang berpotensi untuk membeli bangunan yang siap tetapi belum diduduki itu. Oleh kerana kos pembinaanya agak mahal, tentunya penjualan akan dibuat mengikut harga pasaran supaya hutang FELCRA dapat dilunaskan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Langkah sama katanya akan diambil bagi menyelesaikan permasalahan yang melibatkan lain-lain agensi di bawah KKDW.

PAC sebelum ini mengesyorkan KKDW dan FELCRA supaya lebih bertanggungjawab dan tegas dalam mengawal selia anak-anak syarikatnya supaya menjana keuntungan dan mencapai matlamat penubuhan.

Ia susulan prosiding PAC yang merumuskan FELCRA menerusi syarikat subsidiari menceburi pelbagai bidang perniagaan, namun tidak membantu menjana pendapatan, malah mendatangkan bebanan hutang yang lebih bagi menanggung operasi perniagaan.

Untuk rekod, baki pinjaman FELCRA dengan Kerajaan Persekutuan pada 31 Disember 2021 berjumlah RM3.674 billon, dengan kerajaan melalui Dewan Rakyat sudah bersetuju untuk menukar sebahagian hutang FELCRA sebanyak RM969.27 juta yang menjadi hutang peserta FELCRA kepada ekuiti kerajaan pusat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini