Tumpuan :
Nasional

KKDW sedia rumah baharu, baik pulih kediaman di pedesaan terjejas banjir

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bakal menyediakan rumah baharu atau membaik pulih kediaman di kawasan pedesaan yang rosak akibat banjir yang melanda negara ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu KKDW melalui setiap jabatan, agensi dan anak syarikat untuk mengambil inisiatif yang sesuai serta menggerakkan usaha bagi membantu mangsa bencana itu.

“Saya ingin mencadangkan beberapa usaha untuk kita laksanakan di peringkat kementerian seperti memperhalusi dan menilai rumah-rumah di kawasan pedesaan yang rosak akibat banjir. Kita sediakan rumah baharu atau membaik pulih kediaman yang terjejas,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Disember 2024.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mencadangkan supaya KKDW melancarkan Tabung Derma Kilat Bantuan Banjir untuk menyediakan bantuan sama ada dalam bentuk kewangan atau barangan keperluan harian kepada mangsa.

Selain itu, beliau mengesyorkan Skuad Ihsan MADANI ditubuhkan secara menyeluruh di peringkat kementerian, agensi dan anak syarikat.

Jelasnya, skuad berkenaan boleh memberikan tumpuan terhadap pasca banjir bagi membantu keluarga mangsa yang terjejas.

“Usaha ini bukan sahaja mencerminkan komitmen KKDW dalam membantu rakyat menghadapi musibah tetapi juga membuktikan semangat kesatuan dan keprihatinan kita dalam menjaga kebajikan masyarakat desa yang terjejas,” katanya.

Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu mahu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah bersiap siaga untuk menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku pada 8 hingga 14 Disember ini.

Jelasnya, persediaan awal perlu dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Pada tahun ini banjir sangat-sangat luar biasa melebihi daripada tahun 2014. 1 Disember lalu ketika kemuncak (banjir), 153,000 mangsa melibatkan 45,000 keluarga.

“Kita bersyukur kerana gelombang pertama menurun, kini kurang 60,000 mangsa masih di pusat pemindahan sementara. Kita tunggu gelombang kedua. Pahang dan Johor akan terlibat selepas ini,” katanya.

Ujar beliau, Kerajaan MADANI memberi tumpuan sepenuhnya dengan bencana terbabit dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarelawan lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini