comscore
Tumpuan :
Nasional

KKDW lantik Zainal Azni sebagai Ketua Pengarah baharu RISDA

PETALING JAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengumumkan pelantikan Zainal Azni Zulkifli sebagai Ketua Pengarah baharu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkuatkuasa 7 Jun lalu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan RISDA hari ini, pelantikan berkenaan  menandakan satu transisi penting berikutan persaraan Ketua Pengarah RISDA semasa, Datuk Abdullah Zainal pada 6 Jun lalu.

Watikah pelantikan telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam satu mesyuarat yang diadakan di Putrajaya semalam.

“Pengalaman luas dan kecemerlangan Zainal Azni dalam pelbagai jawatan penting pelbagai organisasi termasuk RISDA, menjadikan beliau calon ideal bagi menerajui agensi ke fasa baharu pembangunan sektor pekebun kecil getah di negara ini.

“Mulai tahun 2020, beliau menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Sdn. Bhd. (KRH) dan berjaya mencapai keuntungan signifikan sebanyak RM53.3 juta yang merupakan pencapaian tertinggi syarikat RISDA dalam tempoh ini.

“Mandat yang dipertangunggjawabkan ini telah memperlihatkan pencapaian syarikat melalui peningkatan keuntungan sebanyak 5% setiap tahun seterusnya menjadikan syarikat di bawah KRH antara yang terbaik di bawah naungan KKDW.”” menurut kenyataan itu.

Berlatarbelakangkan pendidikan Ijazah Sarjana Muda Perundangan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan memiliki rekod perkhidmatan luas dalam bidang kehakiman, perundangan, polisi serta operasi termasukl dalam sektor korporat dalam negara dan antarabangsa menjadikan Zainal Azni calon terbaik dilantik sebagai Ketua Pengarah RISDA yang ke-17.

Pelantikan juga menjadi bukti kepada rekod kecemerlangan pencapaian, kepimpinan tinggi dan berwawasan strategik ditunjukkan Zainal Azni yang diperlukan dalam memastikan RISDA terus unggul ke arah mancapai misi agensi menuju kelestarian pembangunan sektor pekebun kecil getah di fasa 50 tahun kedua.

RISDA menerusi kenyataan itu menyatakan akan terus memberikan komitmen sepenuhnya di bawah KKDW untuk menjadi peneraju bagi membangun dan meningkatkan taraf hidup komuniti pekebun kecil melalui sektor getah, hasil baharu dan keusahawanan selaras dengan aspirasi Desa Madani.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini