comscore
Tumpuan :
Nasional

KKDW kenal pasti tanah di Sarawak untuk dibangun jadi Jelapang Padi Kedua negara

 

SEBUYAU: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sudah mengenalpasti beberapa kawasan di Sarawak untuk dibangunkan sebagai kawasan jelapang padi kedua di negara ini.

Bagaimanapun, perkara itu belum dimuktamadkan memandangkan usaha itu memerlukan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membina sistem saliran dan pengaliran untuk rancangan terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rancangan terbabit sudah dipersetujui secara perinsip oleh kerajaan Sarawak untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk menjayakan rancangan terbabit.

“Namum aspek pelaksanaannya memerlukan sedikit waktu kerana kawasan yang diperlukan itu melibatkan kawasan tanah yang dikategorikan sebagai Tanah Hak Adat (NCR).

“Selain itu, peruntukan bagi rancangan terbabit perlu dikoordinasikan dengan KPKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Program Santuni Rakyat di Kampung Sebangan, di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Program Santuni Rakyat di Kampung Sebangan, Sebuyau

Katanya, rancangan itu yang diurus dan dilaksanakan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) akan mengambil model tanaman padi yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah yang mengeluarkan padi untuk lima musim dalam dua tahun dengan kos kira-kira tiga bilion ringgit.

“Saya fikir di sini mungkin tinggi sedikit tapi yang saya sebutkan tadi soal kos itu adalah soal nombor dua, yang penting mesti ada kemampuan untuk sara diri maknanya ada bekalan padi yang mencukupi untuk penduduk di Sarawak dan Sabah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, FELCRA memerlukan tanah seluas kira-kira 20 ribu ektar untuk menjayakan rancangan terbabit di Sarawak.

Keluasan itu diperlukan berdasarkan kepada skala ekonomi yang tinggi selain membantu dalam pengurusan sumber serta kos penghasilan padi yang efektif.

Loading...
Terkini