comscore
Tumpuan :
Nasional

KKD, JPM bincang tubuh Pasukan Petugas Khas Anti Scam Kebangsaan di Bank Negara

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi Digital , KKD sedang berbincang dengan Jabatan Perdana Menteri JPM untuk membentangkan memorandum jemaah menteri bagi menubuhkan Pasukan Petugas Khas Anti Scam Kebangsaan di Bank Negara.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ia bagi mengekang jenayah penipuan dalam talian sekaligus menjamin ekosistem yang lebih selamat kepada pengguna.

“Bank Negara telah meminta saya untuk membantu berhubung Pasukan Petugas Khas Anti Scam Kebangsaan. Kami merujuk kembali kepada Jabatan Perdana Menteri kerana agensi tadbir yang bertanggungjawab adalah Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan NFCC yang berada di bawah PMO. Jadi kami berbincang dengan PMO tentang pembentangan memorandum jemaah menteri berkenaan perkara ini”, katanya.

Kerajaan tegas beliau, komited mencari penyelesaian bagi memastikan jumlah penipuan dalam talian serta jenayah komersial dapat diminimumkan.

Pihaknya juga telah menyekat hampir dua bilion panggilan dan 500 juta khidmat pesanan ringkas, SMS mencurigakan menerusi bantuan penyedia perkhidmatan syarikat telekomunikasi, Telco.

Fahmi ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Siber Bersepadu Axiata di Menara CelcomDigi , Petaling Jaya.

Beliau turut melihat simulasi serangan siber yang mempamerkan keupayaan dalam mengukuhkan daya tahan siber untuk organisasi perniagaan dan sektor awam, termasuk infrastruktur kritikal negara.

Dalam perkembangan berkaitan beliau memaklumkan, satu perjanjian persefahaman bersama, MOU antara Axiata Group Bhd dan Cybersecurity Malaysia akan dimeterai dalam tempoh terdekat bagi memperkukuhkan lagi keselamatan siber negara.

Loading...
Terkini