comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KKD panggil pengendali TikTok beri penjelasan isu iklan, kandungan

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memanggil pengendali aplikasi TikTok bagi memberi penjelasan berhubung beberapa isu berkaitan iklan dan kandungan di platform terbabit.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima beberapa aduan daripada gedung perniagaan, orang awam dan agensi media yang terkesan dengan isu berkenaan.

Katanya, ketika ini banyak syarikat berbelanja untuk iklan di TikTok, berbanding di media (organisasi media tempatan).

“Ia memberi kesan kepada industri tempatan serta organisasi media,” katanya pada Program Pembersihan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam, di sini, hari ini.

Fahmi berkata, beliau juga akan mengarahkan kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi berkaitan untuk meneliti asas tindakan pengharaman aplikasi TikTok oleh kerajaan Indonesia.

“Kita akan memanggil wakil TikTok dalam masa terdekat kerana kerjasama pengendali aplikasi itu terhadap pihak kerajaan tidak memuaskan ketika ini.

“Sebagai contoh, penyebaran isu virus X di aplikasi itu yang mencecah lebih 1.5 juta tontonan dan apabila kita panggil orang (pengendali) TikTok, mereka tidak ambil tindakan.

“Walhal, pihak Kementerian Kesihatan juga sudah menangkis dakwaan jururawat perlu divaksin kerana ia (virus X) belum ada cuma kenyataan sebelum ini sebagai pemakluman bagi kita siap sedia, ambil pengajaran isu COVID-19 sebelum ini,” katanya.

Fahmi berkata beberapa isu termasuk data peribadi akan diteliti kerana terdapat beberapa perkara yang tidak jelas membabitkan aplikasi terbabit berhubung isu berkenaan.

“Ini kerana terdapat aduan mengenai harga produk, maklumat peribadi serta kandungan yang kita ‘like’ dan kongsi termasuk aspek kepenggunaan.

“Ada beberapa isu wajar perlu diperjelaskan antara pengendali aplikasi itu dan pihak kementerian (KKD),” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini