Tumpuan :
Nasional

KKD panggil penganjur konsert Coldplay berhubung isu tiket mahal

Fahmi mengadakan lawatan ke bilik media pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di bangunan DUN Petra Jaya, Kuching. – FOTO: NSTP

KUCHING: Penganjur konsert Coldplay akan dipanggil Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi mendapatkan maklumat berhubung situasi isu harga tiket konsert dijual terlalu mahal.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pertemuan dengan penganjur konsert itu akan disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa untuk memanggil penganjur konsert dan agensi berkaitan.

“Perbincangan itu bagi membolehkan kita memahami apa yang sebenarnya berlaku, kenapa ia berlaku, bagaimana ia boleh diatasi buat masa sekarang serta apa langkah perlu diteliti supaya tidak berulang pada masa depan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Dilaporkan beberapa individu dipercayai kumpulan ‘scalper’ atau pembeli tiket hantu menjual semula tiket konsert siri jelajah Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Bukit Jalil pada 22 November ini dengan harga mencecah RM43,200.

Difahamkan, tiket tempat duduk kategori 1 berharga RM1,288 seperti tertera dalam laman web rasmi GoLive-Asia, namun kumpulan scalper mengambil kesempatan dengan menjual tiket berkenaan pada harga tidak masuk akal.

Susulan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, dalam laporan media semalam berkata, sekiranya ada pihak membuat aduan, pihaknya akan menyiasat perkara itu mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

Fahmi berkata, antara perkara utama akan diteliti ialah cara penjualan tiket konsert kumpulan muzik Britain itu sama ada perlu ada sekatan atau syarat yang perlu dikenakan terhadap penganjur.

“Bagi MCMC pula, mereka meneliti peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap platform digital yang menjadi pilihan ulat tiket untuk menjual semula tiket.

“Namun pada masa sama, saya mengingatkan, jika mahu membeli tiket mana-mana konsert sekali pun, belilah daripada sumber sahih dan rasmi untuk mengelak masalah ulat tiket,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di pejabatnya di DUN Sarawak, hari ini.

Fahmi berkata, antara agenda utama dibincangkannya dalam pada itu ialah meneliti masalah dihadapi rakyat Sarawak khususnya berkaitan capaian internet.

“Pada Mac lalu, kita meminta Ahli Parlimen seluruh negara mengenal pasti masalah capaian internet termasuk prasarana seperti menara tanpa kuali di kawasan masing-masing.

“Di Sarawak saya difahamkan Perbadanan Ekonomi Digital(SDEC) ada mendirikan lebih 600 menara tetapi kurang separuh daripadanya saja yang sudah ada operator telekomunikasi,” katanya.

Loading...
Terkini