Tumpuan :
Nasional

KK Supermart bekukan urusan, henti kemasukan produk sandwich ‘ham’

Produk ‘ham and cheese sandwich’ disahkan tidak mempunyai sijil halal.

KUALA LUMPUR: KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Supermart) membekukan urusan perniagaan dengan syarikat pengeluar produk ‘ham and cheese sandwich’ sementara dalam tempoh siasatan, susulan isu penggunaan logo halal.

Syarikat peruncitan tempatan ternama itu memaklumkan, pihaknya turut menghentikan kemasukan produk berkenaan di 16 KK Concept Store dan menutup dua premis di Universiti Malaya (UM) untuk siasatan lanjut.

“Untuk makluman semua, produk sandwic itu dikilangkan dan diusahakan oleh syarikat Shake And Bake Cafe Sdn Bhd dengan produk terbabit dipasarkan kepada pelanggan melalui beberapa platform perniagaan termasuk KK Concept Store.

“Pihak syarikat berkenaan mengemukakan sijil halal bagi kepingan ayam dan kepingan keju serta penulisan perkataan itu adalah daripada pihak syarikat itu.

“Tulisan dipamerkan pada bungkusan roti sandwic itu juga adalah daripada pihak syarikat terbabit,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, pihak KK Supermart melalui peguam dilantik sudah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada syarikat berkenaan pada 10 Januari dan membuat laporan polis berhubung kejadian, kelmarin.

Katanya, difahamkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah melakukan serbuan di kilang pengeluar di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pada Jumaat lalu.

“Pihak kami (KK Supermart) bersedia memberikan kerjasama sebaiknya.

“KK Supermart juga memandang serius dengan perkara itu dan sekali lagi menyatakan akan sentiasa memberi kerjasama dengan pihak berkuasa di dalam membantu siasatan.

“Demi menjaga kepercayaan dan keselamatan pelanggan, kerjasama penuh akan diberikan dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan keyakinan dan kesejahteraan pelanggan kami,” katanya.

KK Supermart juga sentiasa komited untuk mengekalkan standard tertinggi dalam memberi kualiti dan memastikan integriti produk dalam keadaan terbaik.

Pihak syarikat turut mengambil langkah untuk mengelakkan kejadian sedemikian berulang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini