KOTA KINABALU: Karnival Jom Heboh (KJH) meneruskan keriangan di Sabah pada hari kedua penganjurannya hari ini.
Kembali menyapa rakyat Negeri di Bawah Bayu selepas lima tahun, jumlah pengunjung KJH Sabah dijangka semakin ramai hari ini berikutan hujung minggu dan cuti persekolahan.
Seperti semalam, tapak KJH mula dikunjungi rakyat Sabah seawal jam 8 pagi.
Bertempat di Kompleks Sukan Likas, karnival pilihan rakyat Malaysia menyajikan pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai oleh semua pengunjung sama ada dewasa dan kanak-kanak.
Dianjurkan Media Prima Berhad, KJH Sabah menjadi lokasi ketujuh dan penutup bagi penganjuran 2024.
Diiktiraf sebagai ‘Acara Padang Paling Lama’ oleh The Malaysia Book of Records (MBOR), KJH sebelum ini sudah menjelajah ke enam lokasi seluruh negara iaitu Sarawak, Putrajaya, Melaka, Terengganu, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Kemeriahan KJH Sabah dijangka kian memuncak dengan Konsert Jom Heboh yang dikuasakan oleh U-Mobile yang bakal berlangsung malam ini dan esok bermula jam 9 malam.
Bertambah istimewa, Konsert Jom Heboh sempena KJH Sabah akan menyajikan hiburan hebat daripada penyanyi terkenal tanah air termasuklah persembahan istimewa oleh alumni One In A Million (OIAM) pada malam kedua untuk meraikan kebangkitan program ikonik terbabit selepas 15 tahun menyepi.
Pada malam pertama, antara penyanyi yang akan memeriahkan konsert adalah Floor 88, Bella Astillah, Wani Kayrie, Ara Johari, Marsha Milan dan Khai Bahar, manakala malam kedua, pengunjung akan dihiburkan oleh Hael Husaini, Ayu Damit, Amylee Azizan, Shila Amzah, Stacy, dan Suki Low.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.