Tumpuan :
Nasional

KJ sedia beri kerjasama penuh kepada polis

Khairy ketika tiba di Studio Keluar Sekejap, petang ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, bersedia memberi kerjasama dalam siasatan polis berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur fitnah berkaitan Titah Adendum.

“Saya akan memberikan keterangan kepada pihak polis sebab ada laporan polis, dan saya akan memberi kerjasama kepada pihak polis. Itu saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan yang menempatkan Studio Keluar Sekejap, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau dilihat tiba di lokasi dengan menaiki kenderaan peribadi sekitar jam 4.58 petang tadi.

Sebelum itu, hasil tinjauan BH mendapati tiga pegawai polis tiba di lokasi berkenaan kira-kira jam 4.40 petang dengan menaiki sebuah kenderaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, terdahulu dilapor memaklumkan bahawa polis akan merakam keterangan Khairy, petang ini.

Beliau berkata, proses rakaman keterangan akan dilakukan di Studio Keluar Sekejap oleh pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Razarudin dipetik berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini