Tumpuan :
Nasional

‘Kita tidak mahu Malaysia jadi tempat bagi sindiket pengemis’ – Nancy

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat , Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi temubual selepas Majlis Sanjungan Ilmu Anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) di Hotel Pullman. -FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan membiarkan negara ini dijadikan lokasi bagi operasi sindiket pengemis terutama yang mengeksploitasi kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jenayah itu bukan sahaja mencemarkan imej negara, malah berlaku eksploitasi khususnya terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah.

“Kita tidak mahu Malaysia menjadi tempat bagi sindiket pengemis. Ditegaskan pihak kementerian akan bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan langkah pencegahan dan penguatkuasaan dilakukan secara efektif.

“Pada masa sama, masyarakat diseru memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti seperti ini. Tindakan tegas perlu diambil supaya sindiket seumpamanya tidak berani menjadikan negara kita sebagai pusat operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Sanjungan Ilmu anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM), di sini, hari ini.

Nancy diminta mengulas kejayaan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Bukit Aman yang menumpaskan sindiket pengemis dipercayai didalangi warga Yaman, minggu lalu.

Difahamkan, kegiatan itu mampu mengaut keuntungan sehingga RM3,000 sehari dengan mempergunakan kanak-kanak sebagai alat eksploitasi.

Nancy juga menekankan kepentingan menjaga imej negara sebagai tuan rumah, kepengerusian Malaysia pada Mesyuarat Asean 2025.

“Sebagai tuan rumah mesyuarat Asean, kita perlu menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang bersih, selamat, dan teratur. Imej negara tidak boleh tercemar oleh aktiviti sindiket seperti ini,” katanya.

Beliau berharap tindakan pantas oleh pihak berkuasa dapat memberikan mesej jelas kepada mana-mana pihak yang cuba menjadikan Malaysia sebagai pusat eksploitasi manusia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini