Tumpuan :
Nasional

‘Kita tidak boleh izinkan dana negara, negeri, bandar raya diambil secara haram’ – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau bersama Jemaah Menteri dan agensinya serius untuk membendung isu ketirisan wang negara.

Tambah Anwar, beliau tidak peduli tohmahan dilemparkan berhubung pendirian kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku rasuah atau kritikan mengatakan tindakan yang diambil berhubung dakwaan rasuah merupakan satu tindakan politik.

“Tidak boleh kita izinkan dana negara, dana negeri, dana bandar raya diambil secara haram untuk memperkayakan segelintir. Tidak mungkin kita izinkan sesiapa tanpa kecuali untuk merasa bebas untuk gondol hak rakyat dana rakyat dan merasa boleh terlepas.

“Saya nak pastikan hal ini tidak berlaku dan berilah kita kesempatan dalam kerajaan perpaduan ini untuk melaksanakan program kita bersihkan negara daripada segala keterlanjuran ‘perompak-perompak besar’ dan kita tumpu sepenuhnya dalam memelihara kepentingan rakyat.

“Saya tak peduli apa yang disebut, ditohmahkan di luar ataupun dianggap ini satu tindakan politik, tidak.

“Percayalah, kawan-kawan saya dalam Jemaah Menteri ada, timbalan menteri ada, KSU (Ketua Setiausaha) untuk tahu kita serius untuk bangkitkan, pastikan perubahan berlaku,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara di Taman D R Seenivasagam di Ipoh.

Loading...
Terkini