comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Kita masih tidak tahu status siasatan polis berhubung kes Faisal Halim’

Laporan Buletin TV3 berkenaan Faisal Halim disimbah asid pada 5 Mei lalu.

SHAH ALAM: Kerajaan negeri setakat ini masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak polis berhubung perkembangan siasatan kes membabitkan pemain Selangor FC, Muhammad Faisal Halim, yang parah disimbah asid dalam kejadian pada 5 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, pihaknya masih menunggu maklumat berkenaan untuk didedahkan susulan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet sukan diluluskan sebulat suara pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi.

“Sehingga hari ini kita masih tidak mengetahui apa status kes beliau (Muhammad Faisal) dan kali terakhir kita dimaklumkan oleh Speaker DUN (Lau Weng San) sudah menulis surat kepada pihak polis memaklumkan usul yang dipersetujui secara konsensus pada sidang yang lalu,” katanya pada sidang DUN di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) yang ingin tahu perkembangan kes membabitkan tonggak utama Red Giants itu.

Pada persidangan lalu, usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet diluluskan secara konsensus oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang antara lain mendesak siasatan menyeluruh dilakukan terhadap kes berkenaan dan dapatan kes itu didedahkan untuk pengetahuan awam.

Pada 5 Mei lalu, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, dekat sini, menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini