Tumpuan :
Nasional

“Kita berusaha memastikan tiga dosa besar itu sama sekali tidak akan berlaku dalam institusi pendidikan” – Fadhlina

 

KUCHING: Garis panduan baharu membabitkan isu buli dan gangguan seksual di sekolah akan dilancarkan hujung bulan ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, garis panduan itu perlu berikutan kes buli dan jenayah sosial selain isu perkauman kini menjadi masalah dalam institusi pendidikan sehingga dianggap ‘dosa besar’.

“Kita berusaha memastikan tiga dosa besar itu sama sekali tidak akan berlaku di dalam institusi pendidikan.

“Justeru, hujung bulan ini kita akan melancarkan garis panduan khusus bagi menangani dua daripadanya iaitu menangani isu buli dan gangguan seksual,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Sambutan Hari Malaysia 2023 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, di sini, malam ini.

Fadhlina berkata, dalam menangani tiga isu itu juga, guru-guru akan bertindak sebagai barisan hadapan untuk memastikan ia tidak berlaku lagi dalam institusi pendidikan.

Sementara itu, ketika mengadakan lawatan ke sekolah di daerah Simunjan hari ini, beliau berkata, sebanyak 78 peratus daripada 455 sekolah daif di Sarawak sudah siap dibaik pulih.

Menurutnya, KPM akan memantau rapi perkembangan projek baik pulih sekolah daif bagi memastikan ia siap dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Walaupun ada beberapa kelewatan, tetapi ia masih boleh diteruskan kerana kita ada pasukan pemantau yang akan memastikan dan jawatankuasa-jawatankuasa yang akan melihat pelaksanaan projek dilakukan,” katanya.

Loading...
Terkini