comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Kita beri kemudahan kepada pelanggan memesan Menu Rahmah’ – Mydin

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

KUALA LUMPUR: Tiada halangan kepada pelanggan untuk membeli Menu Rahmah berharga RM4.90 yang dijual di pasar raya Mydin di seluruh negara kerana ia terbuka kepada orang ramai.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya yakin mereka yang berkemampuan tidak akan ambil kesempatan terhadap set menu makan yang dijual.

“Kita memahami apabila pertengahan bulan, ramai antara kita yang menjadi miskin tegar sementara, jadi kita beri kemudahan kepada mereka memesan makanan daripada Menu Rahmah.

“Sebenarnya sukar untuk kita menentukan siapa yang tergolong dalam miskin tegar, B40, M40 dan T20 yang layak membeli Menu Rahmah ini, jadi untuk mengelak pertengkaran di medan selera serta melancarkan operasi perniagaan, kita buka jualan kepada semua,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Penyediaan Menu Rahmah adalah hidangan seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein iaitu ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan dengan harga berpatutan di Pasar Raya Besar Mydin Tunjong di Kota Bharu, hari ini. – Foto: BERNAMA

“Kita tidak memotong ayam kepada 12 ataupun 16 bahagian, sebaliknya saiz tetap sama tetapi dengan harga lebih rendah.

“Selain Menu Rahmah, kita juga menjual menu RM2.50 membabitkan nasi lemak dan bihun goreng,” katanya.
Ameer berkata, inisiatif ini tidak membebankan peniaga kerana mereka mempunyai menu lain sekiranya pelanggan tidak mahu membeli Menu Rahmah.

“Peniaga memahami tanggungjawab mereka menyediakan menu berharga murah ini menyebabkan keuntungan berkurangan,” katanya.

Beliau memaklumkan menu disediakan setiap hari juga ditukar dengan masakan berbeza membabitkan ikan dan sayuran dalam usaha memberikan lebih banyak pilihan kepada mereka yang tidak berkemampuan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, inisiatif ini satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu masyarakat.

Menu Rahmah dijual bermula 12 tengah hari hingga 8 malam. – Foto: BERNAMA

“Kita tidak boleh berfikir mencari keuntungan saja. Setakat ini ahli PRESMA menyokong usaha ini dan tiada masalah dengan Menu Rahmah.”

“Sesiapa saja yang mahu membeli Menu Rahmah akan diberikan tanpa tapisan dan saringan. Bukan tugas kita menentukan sama ada mereka asnaf ataupun tidak.

“Menu Rahmah di restoran ahli PRESMA akan diteruskan selagi ada keperluan,” kata Datuk Jawahar Ali Taib Khan, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini