KUALA LUMPUR: Ibarat kucing selebriti, lagak dan gaya King Oyen menarik perhatian warga maya.
Dimiliki sepasang suami isteri, King Oyen yang dilayan bagai anak sendiri turut mempunyai kelebihan pandai bergaya persis model.
Pemiliknya Zalifah Abdul Aziz berkata, King Oyen bukan kucing peliharaan semata-mata tetapi dianggap sebahagian daripada keluarganya.
Kehadiran haiwan berkenaan membuatkan kehidupannya kembali terisi memandangkan tiga anak mereka sudah dewasa.
Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Zalifah banyak menghabiskan waktu di rumah bersama King Oyen.
Antara aktiviti kegemaran mereka bersama adalah menata rias kucing jantan jenis ‘American Short Hair’ campuran ‘Persian’ itu dengan pelbagai kostum dan aksesori.
Lebih istimewa, kucing ini juga pandai ‘berposing’ mengikut tema pakaian yang digayakan.
“Sebenarnya Oyen ni saya lebih kepada yang bongsu anak di rumah dan saya memang suka peragakan anak-anak masa kecil dulu.
“Sekarang anak-anak sudah besar, mereka agak malu. Oyen jadi peneman saya. Oyen jadi bongsu di rumah,” kata Zalifah dalam Majalah 3.
Tidak hanya lagak Oyen persis model, kucing selebriti ini cukup gemar mengikut tuannya melakukan aktiviti berbasikal.
Zalifah dan suami mengambil masa kira-kira tiga bulan bagi melatih King Oyen untuk duduk dalam keadaan selamat sepanjang aktiviti berbasikal.
Di setiap kayuhan mereka, King Oyen pasti disambut dengan senyuman dan kegembiraan oleh orang ramai.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ‘Terapi Si Manja, saksikan Majalah 3 pada jam 9 malam ini di TV3.
Langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh Majalah 3 di Tonton.