PETALING JAYA: Seorang adalah srikandi yang lincah menyasar panah ke sasaran di atas kuda, manakala seorang lagi duyung cilik yang menguasai arena renang.
Kedua-dua jagoan remaja perempuan ini berkongsi matlamat sama iaitu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Majalah 3 menyingkap kisah inspirasi atlet memanah berkuda Adawiyyatunnisa Azham Affif, 17 tahun, yang baru-baru ini memenangi pingat gangsa untuk acara Asian (Chinese Style) Serial Shot di ‘1st International Horseback Archery Masters Tournament’ di Xilinhot, Inner Mongolia.
Mula didedahkan dengan sukan memanah sejak berusia 7 tahun, Adawiyyatunnisa menerima latihan awal oleh ayahnya, yang juga bekas atlet memanah berkuda.
“Saya sendiri melihat ayah saya menceburi bidang sukan memanah berkuda ini. Dari saya kecil lagi. Saya mula tertarik. Mula dengan memanah, pelajari berkuda. Selepas kuasai semua bila 10 tahun saya nak memanah berkuda,” katanya dalam Majalah 3.
Antara cabaran dalam acara ini adalah sifat kuda yang sukar diduga dan mampu mendatangkan kecederaan jika tidak ditangani dengan baik.
Tambahnya, komunikasi dengan haiwan lebih kompleks dan bersifat penahaman naluri pemainnya.
Hampir 10 tahun pengalaman dan latihan, Adawiyyatunnisa mahu lebih ramai wanita menyertai acara yang didominasi oleh kaum lelaki itu.
“Saya nak teruskan legasi ayah saya dan juga saya nak meramaikan lagi kaum wanita untuk aktiviti memanah berkuda ini,” katanya.
Seorang lagi jagoan yang ditampilkan dalam episod kali ini adalah Zara Aleesya Mohamad Suadi, 12 tahun, yang mewakili negara dalam acara ‘finswimming’ pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Mei tahun lalu.
Dengan gaya renang menggunakan fin atau sirip bagaikan ‘duyung cilik’, Zara dihantar ke kelas renang seawal usia enam tahun oleh ibu bapanya, yang menjadi detik permulaan buatnya dalam acara renang.
“Zara sebelum ini atlet renang biasa saja. Tapi Zara mendapat tahu ada satu lagi acara renang iaitu ‘finswimming’. Jadi Zara ingin tahu dan ingin mencuba. Sebab Zara dah pernah cuba ‘open water’ dan swimming. Ada benda baru, masuk sajalah. Akhirnya rezeki Zara. Zara terpilih dalam senarai peseta ke Sukan SEA di Kemboja,” katanya.
Ikuti kisah lanjut dua atlet muda ini dalam episode ‘Jagoan Belianita’ dalam Majalah 3 jam 9 malam ini di TV3, bagi yang terlepas boleh langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh di Tonton.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.