SEGAMAT: Rakan sekerja kepada mangsa nahas di Jalan Segamat – Kuantan, Amir Ruddin Ismail, 46 yang maut bersama lima ahli keluarganya petang semalam, tidak menyangka nasihat arwah kepadanya dan rakan lain menjadi petanda sahabatnya itu akan pergi buat selama-lamanya.
Arwah katanya adalah Imam Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang.
“Sejak dua minggu lalu, arwah semakin kerap bercakap mengenai kematian, dosa pahala dan pembalasan. Dia sering menasihatkan saya supaya tidak leka hal duniawi dan jangan lengahkan waktu solat,” kata Mohd Noor Hamizi.
“Dia sering ceritakan hal dunia yang sementara dan pelbagai perkara pelik yang berlaku dalam kehidupan seharian tanpa mengira dosa sejak kebelakangan ini.
“Sebagai rakan dan menganggapnya seperti abang kandung, saya akur dengan nasihatnya supaya bersabar dan jangan bertindak di luar batasan, tetapi tidak sangka kekerapan nasihatnya itu menjadi petanda dia pergi dalam kemalangan tragis,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Segamat, di sini pagi tadi.
Artikel berkaitan: Lori terbabas punca nahas maut 6 sekeluarga
Selain Amir Ruddin, turut maut isterinya, Norahimah Noor Muhamad, 43; dan empat anaknya, Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Seorang lagi anaknya, Abdullah, 15, yang cedera parah di dada dan badan, dirawat di Hospital Segamat.
Mohd Noor yang juga penyelia di ladang berkenaan berkata, kemalangan itu berlaku ketika arwah Amir Ruddin dalam perjalanan menghantar isterinya pulang bertugas sebagai ustazah di Sekolah Agama Ladang Kemedak di Segamat.
“Arwah seorang yang baik dan taat perintah agama, rajin melakukan kerja kebajikan seperti pelbagai program masjid bersama penduduk setempat.
“Kini kami kehilangan seorang imam yang sentiasa memberi teguran baik secara berjenaka kepada sahabatnya,” katanya.
Jenazah Amir Ruddin, isteri dan empat anaknya akan dibawa pulang ke Muar untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubudiah, Parit Limbong, jam tiga petang ini.