Tumpuan :
Nasional

Menteri arah video montaj TMM 2026 dibuat semula

King Sing ditemui media selepas majlis perasmian Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan (Wilayah Tengah) 2025. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 akan dilakukan semula mengikut zon dan tempat menarik yang menjadi tumpuan di setiap negeri.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, pihaknya tidak berpuas hati dengan video promosi TMM 2026 yang dilancarkan kelmarin.

Susulan itu, beliau mengarahkan video promosi itu diolah semula, memandang ia belum dimuktamadkan lagi, selain menjadikannya lebih jelas dan tersusun dengan paparan destinasi pelancongan mengikut negeri.

“Saya sudah lihat video promosi berkenaan sebab ia terlompat-lompat, sekejap Pahang, sekejap Perak, sekejap Selangor, sekejap Sabah, sekejap balik lagi Pahang. Lompat sini, lompat sana.

“Kalau Pahang terus promosi Pahang. Jangan lompat sini, lompat sana. Kalau kita buat sebegitu, nanti pelancong di luar negara keliru. Jadi, kita mahu promosi itu serius,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Wilayah Tengah 2025, di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan video montaj berdurasi 41 saat yang dipaparkan sejak semalam itu, adalah bukan video rasmi yang akan digunakan untuk tujuan promosi kelak.

“Kelmarin, kita cuma rasmi logo sahaja, bukan video promosi Tahun Melawat Malaysia dan ia tidak boleh dijadikan untuk tujuan itu,” katanya.

Beliau turut memohon semua pihak untuk tidak membangkitkan sebarang isu susulan video montaj terbabit.

“Jangan politikkan semua perkara. Ia akan mengelirukan dan beri tekanan kepada masyarakat kita.

“Jangan buat sebegitu, sama ada media atau daripada sosial media ataupun mana-mana pihak,” katanya.

Semalam, King Sing menerusi kenyataan turut memberi jaminan elemen seni bina masjid akan dipaparkan dalam video promosi TMM 2026 yang lebih terperinci, dalam masa terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini