KOTA KINABALU: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) mengungguli Majlis Anugerah Kinabalu Press Awards, malam ini apabila meraih lima hadiah utama dan sembilan merit.
Wartawan TV3, Mohammed Yazzer Mahmun dan Joseph George P Loling memenangi hadiah utama Kewartawanan Penyiaran dengan laporan berita bertajuk ‘Aduan Rakyat: Kes ancaman buaya di Sabah’.
Wartawan TV3, Safwan Sawi dan Mohammed Fairuz Yazzer memenangi dua anugerah utama bagi Laporan Hiburan, Budaya dan Seni dalam bahasa Melayu (penyiaran) yang bertajuk ‘Sumpit terakhir – hilang pewaris pembuatan tradisional’ dan anugerah Laporan Perniagaan dan Ekonomi bertajuk ‘Sabah kembali pacu sumber minyak dan ‘Gas setarakan ekonomi rakyat’.
Selain itu, TV3 juga merangkul merit bagi kategori Anugerah Alam Sekitar (penyiaran) dan Kewartawanan Penyiaran dalam bahasa Melayu.
Harian Metro (HM) memenangi hadiah utama bagi Anugerah Sukan menerusi berita bertajuk ‘Bakat luar biasa Isabelle’ tulisan wartawan sambilannya, Recqueal Raimi.
New Straits Times (NST) pula memenangi hadiah utama laporan berkumpulan bagi berita menerusi laporan bersiri, Krisis Politik di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hadir merasmikan majlis dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai serta Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa