Tumpuan :
Nasional

Kim Seri nafi lari ke Jepun, sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa

Melalui hantaran Instagram Story (IGs), Kim Seri menafikan mahu lari ke Jepun, sebaliknya, sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan penipuan pakej pelancongan. FOTO: Kim Seri / Instagram

KUALA LUMPUR: Pempengaruh Kim Seri, 39, nafi melarikan diri ke Jepun, sebaliknya, mendakwa masih berada di Korea Selatan.

Malah, Kim Seri atau nama sebenar, Seri Azlina yang berdepan dakwaan penipuan membabitkan pakej pelancongan kendaliannya, sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes itu.

“Saya tidak lari ke Jepun dan tidak berniat untuk tinggal di negara itu. Saya masih di Korea Selatan dan sedia memberi kerjasama atas mana-mana siasatan terhadap diri saya,” katanya menerusi hantaran Instagram Story (IGs).

Kim Seri mendakwa dia sudah membuka kumpulan WhatsApp sebagai usaha memulangkan wang dibayar pelanggan untuk pakej pelancongan bulan ini.

“Saya sudah buat satu kumpulan WhatsApp bagi memulakan proses pemulangan wang untuk perjalanan Disember ini dan seterusnya.

“Perjalanan akan datang bukan bermaksud pakej baharu yang akan dibuka. Saya tidak buka mana-mana perjalanan baharu tetapi yang sudah ada, iaitu yang akan berlepas pada Januari dan Februari ini,” katanya.

Kim Seri turut menjelaskan nombor WhatsApp yang digunakan sebelum ini tidak berfungsi lagi kerana pihaknya terpaksa menyahaktif peranti itu berikutan menerima terlalu banyak mesej.

Kim Seri melalui IG Story, Selasa lalu, memohon maaf dan memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada pelanggan terkesan.

Terdahulu, media melaporkan, seramai 10 individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang dikendalikan usahawan yang juga pempengaruh itu, membuat laporan polis, di sini.

Mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan oleh pempengaruh dikenali sebagai Kim Seri, yang menawarkan pakej selama lima hari, dengan harga kira-kira RM4,000.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilapor mengesahkan menerima 24 laporan daripada mangsa penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan dilakukan pempengaruh bernilai hampir RM500,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini