Oleh : Zahir Senapiah
MUAR : Sebuah kilang di kawasan perindustrian Tanjung Agas dekat sini terbakar, petang tadi dipercayai berpunca daripada kebakaran bahan kimia.
Kebakaran dikesan bermula jam 12.45 tengahari tadi dalam bangunan baharu yang sedang dalam pembinaan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, dua jentera dari balai bomba Muar dan Tangkak bersama 22 anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan.
Katanya, setiba di lokasi pihaknya mendapati satu kebakaran bahan kimia jenis Butanox M-50 dalam bangunan yang sedang dalam pembinaan.
Anggota bomba berjaya memadam kebakaran dan mengawal api sepenuhnya dalam masa satu jam.
Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu video kepulan asap hitam tular di media sosial sejak jam 1 tengahari dan dapat dilihat sejauh 5 kilometer.
Pihak pengurusan kilang berkenaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian.