KUANTAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang menyerbu sebuah kilang pemprosesan buangan terjadual sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram di Mukim Bebar, Pekan, di sini semalam.
Dalam Operasi Bersepadu tersebut, sebanyak 54 unit buangan terjadual disita.
Menurut kenyataan JAS, kilang berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan sisa elektronik menggunakan kaedah peleburan, sehingga menyebabkan pencemaran udara di sekitar kawasan jalan utama Lebuhraya Kuantan-Segamat.
Selain itu, seorang pekerja warga asing telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan sabit kesalahan penjara mandatori tidak lebih lima tahun dan denda maksimum hingga RM10 juta jika sabit kesalahan.
Operasi turut disertai agensi penguatkuasaan membabitkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JIM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebarang aduan pencemaran boleh terus dilaporkan ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di http://eaduan.doe.gov.my.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.