Tumpuan :
Nasional

Kilang sandwic disyaki salah guna logo halal diserbu KPDN

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu kilang yang membuat sandwic di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menyalah guna logo halal Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan KPDN Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada jam 1 tengah hari.

Menurutnya, serbuan hasil aduan yang diterima JAKIM dan tular melalui aplikasi TikTok berkaitan penggunaan perakuan logo halal yang meragukan pada produk sandwic yang dijual di beberapa premis pasar raya terkemuka sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Hasil maklumat awal, premis adalah sebuah kilang yang membuat dan membekalkan produk sandwic serta menggunakan penandaan logo halal JAKIM yang disyaki tamat tempoh.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, premis terbabit tidak memiliki kelulusan halal daripada pihak JAKIM dan logo halal yang dilekatkan pada produk sandwic ialah logo halal yang diperakukan kepada sebuah syarikat lain yang tidak lagi beroperasi dan menjual perniagaannya kepada syarikat diserbu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, sijil pengesahan halal juga disahkan telah tamat tempoh pada 15 Oktober 2023.

“Kertas siasatan dibuka dan kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan menjadi kesalahan mengikut Perenggan 8 (a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.

Beliau berkata, KPDN ingin memberikan amaran kepada semua pihak yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa serta memastikan kesemua produk dan perkhidmatan yang dihasilkan memenuhi standard halal yang ditetapkan bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan di bawah perundangan berkaitan.

“Kesalahan seumpama ini amat serius serta boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna terutama yang beragama Islam.

“Selain tindakan di bawah pensijilan halal, KPDN juga akan menghantar sampel sandwic itu ke Jabatan Kimia untuk mendapatkan pengesahan tentang kandungan sebenar yang digunakan dalam penghasilan sandwic terbabit,” katanya.

Katanya, berkaitan isu penutupan premis di sebuah universiti awam, ia adalah tindakan yang diambil oleh sendiri pihak berkenaan dan tidak melibatkan arahan daripada KPDN.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini