SUNGAI PETANI: Peralatan sebuah kilang yang disyaki menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik dan klinikal secara haram disita Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah di Mukim Pinang Tunggal.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata operasi di dua kilang di kawasan berkenaan dilakukan susulan banyak aduan awam berkaitan pencemaran bau sisa plastik diproses tanpa alat kawalan.
Katanya, sebelum ini, JAS ada cuba beberapa kali membuat siasatan namun premis terbabit tidak memberi kerjasama.
“Kilang pertama yang digempur pagi ini adalah kilang kayu yang tidak berlesen dan kilang kedua yang ditemui boleh diakses dari dalam kilang pertama. Kilang kedua ini didapati menjadi tempat stor buangan sisa plastik dan buangan terjadual SW 404 iaitu sisa klinikal.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat bahan-bahan yang disyaki sisa klinikal seperti bekas kit ujian COVID-19, picagari dan jarum didapati dihancurkan dan dibasuh bagi tujuan kitar semula.
“Air buangan dari kilang ini disalurkan ke kolam takungan dan dilepaskan tanpa rawatan ke longkang awam dan seterusnya memasuki Sungai Muda yang menjadi sumber air domestik untuk Kedah dan Pulau Pinang,” katanya menerusi kenyataan.
Sharifah Zakiah berkata ketika serbuan terdapat sekumpulan pekerja asing cuba melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.
Operasi yang turut disertai pegawai Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang kemudian menghubungi Jabatan Imigresen untuk pemeriksaan ke atas pekerja yang ditahan.
“Kilang pemprosesan plastik haram serta sisa klinikal ini dipercayai didalangi oleh warga China. Siasatan lanjut perlu untuk menentukan sama ada buangan ini dari sumber tempatan atau dibawa dari luar negara.
Sharifah Zakiah berkata JAS bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi sebarang program pemutihan industri untuk memastikan industri-industri di negeri ini beroperasi secara lestari dan mematuhi keperluan perundangan.
Untuk rekod, kerajaan negeri Kedah sebelum ini telah mengarah dan menetapkan supaya semua kilang kitar semula plastik di Kedah hanya boleh beroperasi di Bukit Selambau.