Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menahan seorang pengurus syarikat dan menyita 5,227.5 kilogram minyak masak bersubsidi kerana disyaki mengemukakan maklumat palsu membabitkan transaksi jualan dan stok simpanan.
Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, kegiatan itu terbongkar hasil serbuan dilakukan pasukan penguatkuasa agensi terbabit di sebuah kilang di bandar raya ini pada jam dua petang Rabu lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan di kilang terbabit pegawai penguatkuasa menemui 4,377.5 kilogram minyak masak bersubsidi dalam tangki serta 50 kotak minyak masak polibeg satu kilogram siap dibungkus seberat 850 kilogram.
Bagaimanapun, syarikat terbabit mengemukakan rekod transaksi baki stok terakhir dimiliki hanya satu kilogram.
“Hasil pemeriksaan juga KPDN menemui 10 cop perniagaan milik syarikat lain disyaki digunakan untuk memalsukan transaksi jualan kepada premis berkenaan.
“Bagaimanapun, siasatan mendapati semua nama dan alamat pada cop perniagaan itu juga adalah palsu,”
“Berikutan itu, KPDN bertindak menyita minyak masak sebarat 5,227.5 kilogram di kilang terbabit, cop milik syarikat dan premis lain serta pelbagai dokumen perniagaan termasuk penyata jualan untuk siasatan.” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Menurut Jezlily, anggaran nilai minyak masak bersubsidi dirampas itu bernilai RM13,068.75.
Katanya, pengurus syarikat berusia 28 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memberi maklumat palsu dan sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1,000,000.
“KPDN memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat berkaitan supaya mematuhi peraturan ditetapkan.” katanya.
Beliau turut meminta pengguna melaporkan kepada KPDN jika mensyaki wujud aktiviti mencurigakan dilakukan peniaga.