SEREMBAN: Masih menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada label produk mi kuning walaupun sijil perakuan itu sebenarnya sudah tamat sah sejak 16 bulan lalu.
Ia dikesan ketika serbuan di sebuah kilang memproses mi kuning di Senawang, hasil pemerhatian dan risikan selama seminggu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan, berkata dalam serbuan itu, sebanyak empat bungkus mi dan dua guni plastik pembungkus dirampas.
“Penguat kuasa kami bersama pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menjalankan operasi penguatkuasaan halal di sebuah premis di Senawang, iaitu kilang mi disyaki menggunakan logo halal JAKIM pada produk makanan tanpa perakuan halal yang sah JHEAINS.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk dikeluarkan kilang itu tamat tempoh pada 31 Ogos 2021, namun masih digunakan pada paket pembungkusan produk keluarannya.
“Sebanyak empat bungkus mi kuning dan dua guni plastik pembungkus produk perniagaan ini yang disyaki menggunakan logo halal tanpa perakuan halal pihak berkuasa disita dengan anggaran nilai rampasan RM111.20.
“Kesemua barangan disita mengikut Peraturan 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Peraturan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Gerakan seumpama itu akan diteruskan bagi mengelakkan penggunaan logo halal pada mana-mana produk makanan dan barang-barang tanpa perakuan sah pihak berkuasa berwibawa, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JHEAINS.
“Peniaga dinasihatkan mematuhi undang-undang dan peraturan dikuatkuasakan KPDN dalam perniagaan dan perdagangan masing-masing. Pengguna di Negeri Sembilan boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian,” katanya.