KULAI: Satu kebakaran besar berlaku di sebuah premis kilang memproses minyak kelapa sawit di Sedenak, Johor.
Saksi yang merakam visual kejadian yang tular di media sosial mendakwa, kejadian berlaku akibat panahan petir.
Api yang menjulang tinggi bagaimanapun berpunca dari kebakaran perkakas melibatkan kanvas yang digunakan untuk menutup minyak yang diproses.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, kebakaran berlaku di premis kilang di Jalan Sedenak-Johor Bahru.
Sepasukan tujuh anggota bomba dan penyelamat Kulai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 3.56 petang.
Bagaimanapun kebakaran dapat dipadamkan dengan sendiri sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
Kebakaran juga tidak melibatkan struktur bangunan.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.