Tumpuan :
Nasional

Kilang lebur logam secara haram diarah tutup

Pihak berkuasa melakukan serbuan menerusi operasi bersepadu ke atas sebuah kilang yang melakukan aktiviti peleburan logam secara haram di Jalan Raja Musa, Bestari Jaya, Khamis lalu. FOTO: Ihsan MPKS

KUALA SELANGOR: Sebuah kilang di Jalan Raja Musa, Bestari Jaya, di sini, yang menjalankan aktiviti peleburan logam secara haram diarahkan tutup serta-merta oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Operasi premis yang tersorok daripada pandangan awam bagi mengelak dikenakan tindakan dikesan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan pada Khamis lalu.

MPKS dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya melalui Jabatan Penguatkuasa mengetuai 65 anggota yang turut disertai pelbagai agensi.

Antaranya Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Operasi ini dijalankan kerana pemilik kilang masih lagi ingkar terhadap notis menghentikan aktiviti perniagaan yang dikeluarkan MPKS sebelum ini dan aduan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

“Ekoran itu, premis terbabit diarahkan tutup serta-merta dan dikenakan kompaun ekoran kesalahan tidak memiliki lesen aktiviti mengilang. Sitaan turut dikenakan membabitkan dua unit foklif, tong gas bersubsidi dan peralatan makmal.

“Nilaian sitaan dianggarkan berjumlah RM 40,000 dan barangan itu dibawa ke stor MPKS untuk tindakan lanjut,” katanya.

MPKS berkata, kes disiasat di bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dari pihak berkuasa.

Pada masa sama katanya, JAS turut mengeluarkan notis pematuhan pembersihan berikutan menjalankan industri berat di lokasi yang tidak sesuai, selain Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Selangor mengeluarkan notis dan sitaan besi Y10 yang siap diproses.

“Selain itu, Air Selangor melakukan pemotongan meter air di kedua-dua premis dan TNB turut mengeluarkan notis pemotongan bekalan elektrik,” menurut kenyataan sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini